Selasa, 4 Ogos 2020 | 9:57pm
Dokumentari terbitan Al Jazeera bertajuk ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ yang didakwa tidak tepat, mengelirukan dan tidak adil. - IHSAN FB
Dokumentari terbitan Al Jazeera bertajuk ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ yang didakwa tidak tepat, mengelirukan dan tidak adil. - IHSAN FB

Al Jazeera kecam pemeriksaan mengejut PDRM

KUALA LUMPUR: Stesen penyiaran antarabangsa, Al Jazeera, mengecam tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat pemeriksaan mengejut di pejabatnya, di sini, hari ini.

Al Jazeera dalam satu kenyataan, hari ini, memaklumkan bahawa dua komputer turut dirampas menerusi serbuan itu, selain tujuh kakitangannya telah dirakam keterangan oleh polis.

Katanya, serbuan dilakukan selepas pihak berkuasa Malaysia mengumumkan sedang membuat siasatan susulan penerbitan satu dokumentari yang didakwa tidak tepat, mengelirukan serta tidak adil.

Menurut kenyataan itu lagi, Al Jazeera menolak dakwaan terbabit dan berpegang teguh kepada kualiti dan kesaksamaan laporannya.

Dalam kenyataan sama, Pengarah Urusan Al Jazeera English, Giles Trendle, berkata PDRM wajar menghentikan siasatan terhadap wartawan agensi media antarabangsa itu.

"Kami berdiri teguh di belakang wartawan dan laporan kami. Pekerja kami hanya menjalankan tugas mereka dan mereka tiada apa untuk dijawab atau dimohon maaf. Kewartawanan bukan satu jenayah," katanya.

Berita Harian X