Isnin, 3 Ogos 2020 | 11:26pm
Dua warga asing dalam rakaman video tular yang memaparkan insiden seorang pengawal keselamatan dipukul di tempat parkir kereta.- Foto ihsan FB
Dua warga asing dalam rakaman video tular yang memaparkan insiden seorang pengawal keselamatan dipukul di tempat parkir kereta.- Foto ihsan FB

Lelaki Nepal pukul pengawal keselamatan ditahan

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki warga Nepal hari ini, bagi membantu siasatan kes pukul pengawal keselamatan warganegara sama di mana kejadian itu dirakam dan tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Rajab Ahad Ismail, berkata lelaki berusia 34 tahun itu ditahan jam 5 petang tadi, hasil kerjasama Kedutaan Nepal di Malaysia dan orang awam.

"Suspek kini ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

"Suspek akan dibawa ke mahkamah esok untuk proses reman," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Rajab memohon bantuan orang ramai untuk mengesan mangsa kejadian itu bagi melengkapkan kertas siasatan.

"Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Shahrul Azzuan Sharom di talian 016-2014334 atau Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Wangsa Maju, Asisten Superintendan, M Hussin Sollehuddin Zolkifly (017-2446363).

"Orang ramai juga boleh hubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau tampil ke mana- mana balai polis berhampiran," katanya.

Menerusi video berdurasi 44 saat itu, kelihatan pengawal keselamatan dipukul berkali-kali dengan kayu dipercayai cota, selain ditampar dan ditumbuk oleh suspek.

Kejadian itu menerima kecaman ramai dan beberapa laporan polis turut dibuat oleh pelbagai pihak termasuk pejabat Kedutaan Nepal di Malaysia.

Berita Harian X