Isnin, 3 Ogos 2020 | 12:04am
Mangsa lemas selepas terjun dari tingkat dua Air Terjun Kuji, Wong Kuji, Bintangor. - NSTP/Melvin Joni
Mangsa lemas selepas terjun dari tingkat dua Air Terjun Kuji, Wong Kuji, Bintangor. - NSTP/Melvin Joni

Lelaki lemas ketika riadah di air terjun

BINTANGOR: Seorang lelaki ditemui lemas ketika beriadah bersama rakannya di Air Terjun Kuji, Wong Kuji, di sini, petang tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 3.37 petang.

Katanya, Sat Renang, 33, dari Rh Rampoo Sungai Paoh, Sarikei, dikatakan mengunjungi air terjun itu untuk beriadah bersama tiga rakan mangsa.

"Mangsa dikatakan telah terjun dari tingkat dua air terjun itu dan tidak timbul semula.

"Rakannya yang menyedari mangsa tidak timbul dikatakan terus cuba menyelamatkan lelaki itu.

"Mangsa kemudian berjaya ditemui dan dibawa ke tebing. Namun, mangsa tidak memberikan sebarang tindak balas selepas beberapa usaha dibuat untuk menyedarkannya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut jurucakap itu lagi, mangsa kemudian dibawa rakannya serta penduduk kampung berhampiran ke jalan raya utama (Jalan Engkamop, Pakan) dan disahkan meninggal dunia oleh polis yang berada di lokasi.

"Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Berita Harian X