Sabtu, 25 Julai 2020 | 6:51pm

2 lelaki dicekup kes samun

KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lelaki hari ini, selepas disyaki terbabit kes samun di sekitar Ampang Jaya, dekat sini, pada hari sama.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff, berkata pihaknya menangkap kedua-dua suspek berusia 27 dan 38 tahun hasil bantuan orang awam.

"Dalam kejadian pada jam 8.50 pagi tadi, mangsa yang memandu kereta Perodua Axia berhenti di kawasan lampu isyarat menghala ke bulatan Hillview Hulu Kelang, lalu didatangi sebuah motosikal ditunggang suspek berkenaan dari arah belakang kiri kereta itu.

"Suspek bertindak memecahkan cermin kereta di bahagian hadapan kiri sebelah penumpang dan terus mengambil beg mangsa sebelum melarikan diri.

"Mangsa memecut kereta dan mengejar motosikal suspek sehingga ke simpang tiga Jalan AU 2C dan seterusnya merempuh motosikal suspek.

"Pegawai polis yang berada di tempat kejadian dibantu orang awam berjaya menangkap kedua-dua suspek dan mendapatkan kembali barang milik mangsa," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Noor Azmi berkata, hasil siasatan mendapati suspek berkenaan turut terbabit dengan dua lagi kes samun di sekitar kawasan dan hari sama.

"Yang pertama, kes samun telefon bimbit mangsa yang berjalan kaki sehingga menyebabkan kecederaan di siku tangan kirinya, di Jalan Pandan Indah 4/2, Pandan Indah.

"Kes kedua, samun pecah cermin kereta jenis Peugeot di hadapan sebuah hotel, di Jalan Ampang," katanya.

Katanya, semakan lanjut mendapati kedua-dua suspek mempunyai lapan rekod jenayah termasuk kes dadah, samun dan pecah rumah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 394 KK," katanya.

Berita Harian X