Jumaat, 24 Julai 2020 | 2:38pm

Tiga penganggur berdepan hukuman gantung

KANGAR: Tiga lelaki didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan memiliki ganja seberat 959.4 gram (g) di sebuah rumah di Padang Pauh, Padang Besar, Jumaat lalu.

Tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan terhadap Zed Amirul Zaquan Z Zamri, 26; Muhammad Zakwan Azhar, 25; dan Mohammad Shamizan Mohammad Zahir 25, di hadapan Majistret Kamaliza Md Zain.

Mengikut pertuduhan, suspek didakwa memiliki dan berada di dalam kawalan jenis dadah berbahaya cannabis seberat 959.4 g di sebuah rumah, di Padang Pauh, jam 1.55 pagi, pada 17 Julai lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama dan dibacakan bersama Seksyen 34 kanun sama memperuntukkan mandatori hukuman gantung sampai mati.

Semua tertuduh diwakili peguam Mohd Asrul Atfendi Abdul Halim dan KT Jayaraj, manakala pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Jodia Poh Yi Tying.

Tiada sebarang jaminan ditawarkan oleh Jodia Poh dan mahkamah menetapkan 8 Oktober depan untuk serahan laporan kimia dan sebutan semula kes.

Sebelum ini, BH melaporkan empat penganggur lelaki termasuk seorang graduan universiti awam ditahan selepas disyaki terbabit dalam pengedaran dan menanam sebatang pokok ganja di Perlis, pada 16 dan 17 Julai lalu.

Kesemua suspek lelaki berusia 25 dan 26 tahun ditahan di dua lokasi berasingan di Padang Besar dan Taman Utama, Kangar pada Khamis dan Jumaat lalu.

SUSPEK dihadapkan di Mahkamah Majistret Kangar, atas pertuduhan memiliki ganja. - NSTP/Dziyaul Afnan Abdul Rahman
SUSPEK dihadapkan di Mahkamah Majistret Kangar, atas pertuduhan memiliki ganja. - NSTP/Dziyaul Afnan Abdul Rahman
Berita Harian X