Isnin, 20 Julai 2020 | 4:10pm

Warga emas dipenjara 8 tahun lakukan amang seksual fizikal

AYER KEROH: Seorang warga emas dihukum penjara lapan tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun pada 9 Julai lalu.

Abdul Rahman Ahmad, 70, mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norma Ismail.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh yang bujang dan bekerja sebagai nelayan, didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa kira-kira jam 3.30 petang di dalam sebuah pondok di kawasan semak tepi jalan di Melaka Tengah.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Intan Lyiana Zainal Abidin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, tertuduh yang memakai baju-T dan berseluar jean, dalam rayuan meminta mahkamah menjatuhkan hukuman ringan terhadapnya.

Tertuduh, Abdul Rahman Ahmad, dihukum penjara lapan tahun selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak berusia lapan tahun. - NSTP/AMIR MAMAT
Tertuduh, Abdul Rahman Ahmad, dihukum penjara lapan tahun selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak berusia lapan tahun. - NSTP/AMIR MAMAT
Berita Harian X