Isnin, 20 Julai 2020 | 2:49pm
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Pemandu maut terbabas

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabas merempuh besi pembahagi jalan di Jalan Sungai Besi arah ke Seremban sebelum besi berkenaan menembusi kenderaannya, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.40 pagi itu, mangsa, Lee Ming Foong, 21, berasal dari Bandar Country Homes, Rawang disahkan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, berkata mangsa yang memandu PERODUA Myvi dipercayai hilang kawalan sebelum kenderaannya terbabas merempuh besi pembahagi jalan.

"Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terbabas sendiri ketika melalui laluan berkenaan namun siasatan masih diteruskan untuk memastikan punca kemalangan.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Pusat Gerakan Bomba (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur yang menerima panggilan kecemasan pada jam 2.39 pagi menggerakkan sepasukan 13 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah ke lokasi.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II K. K Mohan, berkata apabila pihaknya tiba di lokasi mendapati mangsa tersepit di tempat penduduk pemandu dengan besi pembahagi jalan menembusi kenderaannya.

"Operasi mengeluarkan mangsa tamat pada jam 3.20 pagi dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Berita Harian X