Ahad, 19 Julai 2020 | 11:59pm
Pengunjung yang ditahan di sebuah pusat hiburan haram di Jalan Yap Kwan Seng, pagi tadi. - Foto Polis
Pengunjung yang ditahan di sebuah pusat hiburan haram di Jalan Yap Kwan Seng, pagi tadi. - Foto Polis

Polis KL gempur 249 pengunjung pusat hiburan haram

KUALA LUMPUR: Seramai 249 warga tempatan yang leka berhibur di sebuah pusat hiburan haram di Jalan Yap Kwan Seng, di sini, dikejutkan dengan serbuan polis, awal pagi tadi.

Semua mereka termasuk 11 lelaki warga asing ditahan sekitar jam 1.30 pagi oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan, berkata serbuan dijalankan berikutan maklumat mengenai aktiviti hiburan yang melanggar syarat Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dijadualkan berakhir 31 Ogos ini.

"Dalam serbuan ini, pihak polis menahan seorang lelaki yang bertindak sebagai penjaga premis berkenaan kerana menjalankan perniagaan hiburan secara haram dan akan disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

"Selain itu, 11 lelaki warga asing yang ditahan juga akan disiasat mengikut kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63," katanya ketika dihubungi hari ini.

Pengunjung yang ditahan di sebuah pusat hiburan haram di Jalan Yap Kwan Seng, pagi tadi. - Foto Polis
Pengunjung yang ditahan di sebuah pusat hiburan haram di Jalan Yap Kwan Seng, pagi tadi. - Foto Polis

Beliau berkata, semua 249 rakyat tempatan terdiri daripada 182 lelaki dan 67 wanita dikenakan kompaun maksima RM1,000 kerana melanggar syarat PKPP di bawah Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 (PPPPB 2020).

"Polis Daerah Dang Wangi khususnya sentiasa memantau mana-mana premis hiburan yang didapati melanggar syarat-syarat yang ditetapkan semasa PKPP.

"Pada masa ini kita sedia maklum bahawa kerajaan masih belum membenarkan mana-mana pusat hiburan beroperasi selain pusat karaoke keluarga sehingga jam 12 tengah malam," katanya.

Berita Harian X