Rabu, 15 Julai 2020 | 11:32pm

Pelajar ditemui mati tergantung di asrama

KOTA KINABALU: Seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga di sebuah sekolah di Jalan Damai, di sini, ditemui mati tergantung dalam bilik asrama, petang tadi.

Mangsa berusia 15 tahun dari Kota Marudu ditemui rakannya dan warden asrama jam 6.45 petang.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata siasatan mendapati sebelum kejadian mangsa bersama empat rakannya berada di bilik asrama di sekolah berkenaan.

"Empat rakannya kemudian keluar dari bilik asrama dan tidak lama selepas itu rakannya kembali semula untuk memanggil mangsa untuk belajar bersama.

"Pintu bilik dalam keadaan terkunci. Curiga sesuatu berlaku, rakannya kemudian meminta pertolongan warden.

"Warden kemudian cuba mengetuk pintu namun tiada tindak balas menyebabkan warden memecahkan pintu sebelum menemui mangsa dalam keadaan tergantung," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah.

"Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat sebagai mati mengejut (SDR).

"Mayat mangsa sudah di hantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) bagi proses bedah siasat," katanya.

Berita Harian X