Rabu, 8 Julai 2020 | 1:53pm

Dipenjara 6 bulan ugut ibu dengan parang

JEMPOL: Akibat mengugut ibu dengan sebilah parang, seorang penoreh getah dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Bahau, hari ini.

Majistret Khir Nizam Jemari menjatuhkan hukuman itu ke atas A Jamalli A Jalil, 36 dari FELDA Palong Tujuh, Jempol selepas dia mengaku bersalah terhadap tuduhan itu.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa mengugut ibunya menggunakan sebilah parang di hadapan sebuah rumah di FELDA Palong Tujuh pada jam 7.30 malam 31 Mac lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh meminta duit daripada ibunya untuk membeli dadah namun tidak dilayan.

Dia tiba-tiba mengamuk dan mengambil sebilah parang dan mengacukan kepada ibunya sambil mengeluarkan kata-kata ugutan sehingga menyebabkan ibunya ketakutan.

Ibu tertuduh kemudian membuat laporan polis pada 1 April jam 12.30 tengah malam.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berita Harian X