Rabu, 8 Julai 2020 | 12:20pm
Pengurus kilang kayu, Abu Bakar Hussin@Hashim (kiri) dibawa ke Mahkamah Sesyen Kulim atas pertuduhan mendirikan kilang memproses balak secara haram. - Foto NSTP / Nor Farhani Che Ad
Pengurus kilang kayu, Abu Bakar Hussin@Hashim (kiri) dibawa ke Mahkamah Sesyen Kulim atas pertuduhan mendirikan kilang memproses balak secara haram. - Foto NSTP / Nor Farhani Che Ad

Pengurus didenda RM2,000 proses balak tanpa lesen

KULIM: Seorang pengurus kilang didenda RM2,000 selepas didapati bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memproses kayu balak secara haram pada 3 Februari lalu.

Tertuduh, Abu Bakar Hussin@Hashim, 74, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Musyiri Peet.

Mengikut pertuduhan, Abu Bakar didakwa mendirikan industri berasaskan kayu iaitu kilang kotak kayu, pak dan pelet tanpa mengambil lesen daripada pihak berkuasa negeri di Kampung Bagan Sena, Labu Besar, kira-kira jam 11 pagi, 3 Februari lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Subseksyen 3(2) Enakmen Industri Berasaskan Kayu 1985 (Negeri Kedah) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 27 Enakmen yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi satu tahun atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-duanya.

Berikutan itu, mahkamah menjatuhkan denda RM2,000 ke atas tertuduh dan sekiranya gagal bayar, dia boleh dihukum penjara dua bulan.

Musyiri turut memerintahkan semua hasil hutan membabitkan 541 tual kayu balak pelbagai spesis dan 700 set kayu pelet dilucut hak kepada Jabatan Perhutanan Negeri Kedah.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Raya Jabatan Perhutanan Negeri Kedah, Muhamad Firdaus Zulnaim Johari, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, Abu Bakar ditahan dalam serbuan yang dilakukan sepasukan penguat kuasa Jabatan Perhutanan Negeri Kedah di kilang terbabit.

Pemeriksaan lanjut kilang terbabit mendapati, pihak kilang gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran untuk mendirikan industri berasaskan kayu.

Berita Harian X