Khamis, 2 Julai 2020 | 4:02pm

16 termasuk pegawai imigresen Kedah didakwa sertai 'Geng Husen Maungdaw'

GEORGETOWN: Seramai 16 lelaki termasuk seorang pegawai imigresen Kedah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang 'Geng Husen Maungdaw', sejak September tahun lalu.

Semua tertuduh yang berusia 26 hingga 55 tahun itu didakwa melakukan kesalahan itu dalam daerah Timur Laut, antara September 2019 hingga 17 Jun lalu.

Seramai 13 tertuduh etnik Rohingya ialah Syed Husen Syed Ahmed, 39; Mohd Ayas Hussain, 39; Mohamad Rafik Abdul, 35; Mohamad Ayub Sunail, 55; Karim Oli Ahmad, 26; Shamsul Alam Zakaria, 38; Mohammad Rashid Mohd Shobir, 30; Nor Mustafa Kaloo, 40; Mohd Hashim Osi Rahman, 39; Mohamad Zubir Abd Shukur, 44; Nur Mohamed Mugul Ahmed, 37; Mohiddin Mohd Rafiq, 48, dan Abdullah @ Maung Hla Wing yang juga pemegang status penduduk tetap berusia 42 tahun.

Tiga lagi tertuduh warga tempatan ialah pegawai imigresen Kedah, Mohammad Jafnizal Mohammad Jafferi, 34; Amran Che Man, 42, dan Omar Rashid, 43.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Norsalha Hamzah.

Pertuduhan mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Mahkamah tidak membenarkan semua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 8 September ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Yusaini Amer Abdul Karim manakala peguam Datuk Naran Singh, Mohd Rafiee Nordin, Abdul Rahim Md Yusuf, Norizan Yaacub, P Selvaraj, Y Anbananthan dan V Parthipan mewakili 12 tertuduh manakala empat lagi tertuduh tidak diwakili peguam. – BERNAMA

Berita berkaitan:

  • 51 anggota sindiket penyeludupan PATI 'Geng Otong' didakwa
  • Halim, 10 pengikut tidak dibenarkan ikat jamin
  • Seramai 16 lelaki termasuk seorang pegawai imigresen Kedah didakwa di Mahkamah Sesyen Georgetown hari ini atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Husen Maungdaw’, sejak September tahun lalu. - Foto Mohamed Basyir
    Seramai 16 lelaki termasuk seorang pegawai imigresen Kedah didakwa di Mahkamah Sesyen Georgetown hari ini atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Husen Maungdaw’, sejak September tahun lalu. - Foto Mohamed Basyir
    Berita Harian X