Rabu, 1 Julai 2020 | 10:11pm
Mayat seorang peniaga yang ditemui oleh orang awam di sebatang sungai kecil di Bandar Seri Astana, di Sungai Petani, petang tadi. - NSTP/Nor Farhani Che Ad
Mayat seorang peniaga yang ditemui oleh orang awam di sebatang sungai kecil di Bandar Seri Astana, di Sungai Petani, petang tadi. - NSTP/Nor Farhani Che Ad

Mayat ditemui selepas lebih dua minggu hilang

SUNGAI PETANI: Seorang peniaga yang dilaporkan hilang sejak lebih dua minggu lalu ditemui meninggal dunia di sungai di Bandar Seri Astana, di sini, petang tadi.

Lelaki warga tempatan berusia 57 tahun itu ditemui orang awam kira-kira 500 meter dari rumah mangsa selepas terhidu bau busuk pada jam 4.50 petang.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, berkata berdasarkan semakan, terdapat laporan polis dibuat oleh ahli keluarga berhubung kehilangan mangsa pada 15 Jun lalu.

"Lelaki terbabit dikatakan keluar dari rumahnya dengan berjalan kaki sebelum dilaporkan tidak pulang sehingga hari ini.

"Pengesahan mayat mangsa dibuat berdasarkan penemuan dompet mangsa dan pengecaman ahli keluarga yang berada di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini

Adzli berkata, mangsa dipercayai sudah meninggal dunia dalam tempoh dia dilaporkan hilang berdasarkan keadaan fizikal mayatnya yang sudah mereput.

Katanya, pemeriksaan awal mendapati terdapat beberapa kecederaan di anggota badan mangsa dipercayai akibat dimakan haiwan liar.

Beliau berkata, beberapa barangan berharga seperti wang tunai dan kad kredit masih bersama mangsa.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk bedah siasat dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Berita Harian X