Rabu, 1 Julai 2020 | 4:55pm
Datuk Seri Najib Razak hadir pada perbicaraan 1MDB di Mahkamah Tinggi hari ini. - Foto NSTP/Saifullizan Tamadi
Datuk Seri Najib Razak hadir pada perbicaraan 1MDB di Mahkamah Tinggi hari ini. - Foto NSTP/Saifullizan Tamadi

Artikel beri kuasa kepada PM tak pernah diguna

KUALA LUMPUR: Artikel 117 Memorandum dan Artikel Persatuan (M&A) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang memperuntukkan sesetengah keputusan syarikat memerlukan kelulusan perdana menteri, tidak pernah digunakan.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang menyoal balas bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, berkata perkara itu dimaklumkan saksi sendiri kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Muhammad Shafee yang menyoal saksi pendakwaan kesembilan itu berkata, menurut kenyataan Shahrol Azral kepada PAC, semua keputusan berhubung hal ehwal syarikat 1MDB dibuat oleh Lembaga Pengarah.

Peguam itu berkata demikian ketika merujuk saksi kepada dokumen kenyataan diberikan beliau kepada Ahli PAC ketika itu iaitu Datuk Takiyuddin Hassan dan Tony Pua.

Ketika memberikan keterangan pada sesi pemeriksaan utama pada Oktober tahun lalu, Shahrol Azral berkata, M&A itu yang menyatakan sesetengah keputusan 'memerlukan kelulusan Kerajaan Persekutuan', dipinda kepada 'memerlukan kelulusan Perdana Menteri' mengikut Artikel 117.

Beliau berkata, pindaan itu memberikan Najib kuasa yang luas sebagai Penasihat Lembaga Pengarah 1MDB.

Katanya, pindaan itu adalah atas keinginan Najib dan perkara itu diberitahu kepadanya oleh Low Taek Jho, iaitu ahli perniagaan dalam buruan yang lebih dikenali sebagai Jho Low.

Menurut saksi, sesetengah perkara yang memerlukan kelulusan perdana menteri termasuklah pelaburan, pengstrukturan semula dan kuasa untuk melantik atau memecat.

Shahrol Azral memberikan keterangan terhadap Najib yang didakwa dengan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM2.3 bilion milik 1MDB.

Sementara itu, Muhammad Shafee mencadangkan bahawa pelaburan daripada Bridge Partners International Investment Ltd, yang sepatutnya dipindahkan ke anak syarikat 1MDB, Brazen Sky Ltd bertujuan memperdayakan dan menipu 1MDB.

Peguam itu turut mencadangkan bahawa ia dilakukan untuk mencapai objektif mengubah data perakaunan syarikat supaya nilai aset 1MDB melambung.

Shahrol Azral bagaimanapun berkata beliau tidak tahu mengenai perkara itu.

Berita Harian X