Jumaat, 26 Jun 2020 | 12:47pm
Kemalangan yang meragut nyawa seorang remaja di Jalan Sarig, Padawan pagi tadi. - Foto NSTP/Melvin Joni
Kemalangan yang meragut nyawa seorang remaja di Jalan Sarig, Padawan pagi tadi. - Foto NSTP/Melvin Joni

Remaja maut rempuh pikap

PADAWAN: Seorang remaja lelaki maut selepas merempuh sebuah pikap di Jalan Sarig di sini, pagi tadi.

Dalam nahas kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa berusia 18 tahun dari Kampung Sikog disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu, berkata kemalangan berlaku apabila pikap terbabit masuk ke simpang sebelah kanan Lorong Pesa 5 lalu dirempuh mangsa yang menunggang motosikal dari arah bertentangan.

"Akibat pelanggaran itu, mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik dari Hospital Serian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Alexson berkata, pemandu pikap, iaitu lelaki berusia 68 tahun dari Kampung Pesa, Padawan tidak cedera.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X