Rabu, 24 Jun 2020 | 3:44pm
Pesara tentera dibawa ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja berusia 13 tahun pada Februari 2018. - Foto Nor Farhani Che Ad
Pesara tentera dibawa ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja berusia 13 tahun pada Februari 2018. - Foto Nor Farhani Che Ad

Pesara tentera dipenjara lapan tahun

SUNGAI PETANI: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun ke atas pesara tentera yang didapati bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja berusia 13 tahun pada 2018.

Hakim N Priscilla Hemamalini menjatuhi hukuman itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan tertuduh, Mansor Hamid, 77, melakukan perbuatan berkenaan terhadap mangsa yang juga rakan cucunya yang kini berusia 15 tahun.

Mengikut pertuduhan, tertuduh melakukan amang seksual fizikal dengan menyentuh bahagian badan remaja itu di Kampung Pasir Guar Chempedak, Gurun, pada jam 8 malam, 15 Februari 2018.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan.

Bagaimanapun, peguam tertuduh, Saiful Ambar Abdullah Ambar memohon penangguhan hukuman daripada mahkamah sementara menanti proses rayuan di Mahkamah Tinggi Alor Setar.

Berikutan itu, hakim membenarkan rayuan terbabit dan tertuduh dibenarkan diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nordiyanasari Omar.

Berita Harian X