Isnin, 22 Jun 2020 | 7:54pm
PEGUAM kepada Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Shafee Abdullah, hadir mendengar permohonan LHDN mendapatkan penghakiman ringkasan dalam samannya terhadap Ahli Parlimen Pekan itu bagi mendapatkan kembali cukai pendapatan belum dibayar sebanyak RM 1.69 bilion, di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto NSTP/ Eizairi Shamsudin
PEGUAM kepada Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Shafee Abdullah, hadir mendengar permohonan LHDN mendapatkan penghakiman ringkasan dalam samannya terhadap Ahli Parlimen Pekan itu bagi mendapatkan kembali cukai pendapatan belum dibayar sebanyak RM 1.69 bilion, di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto NSTP/ Eizairi Shamsudin

Peraturan bayar cukai taksiran wujud sejak dulu - Peguam

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu, peraturan dalam Akta Cukai Pendapatan 1967 yang mewajibkan setiap individu membayar cukai apabila menerima notis taksiran, terpakai kepada semua rakyat di negara ini termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Peguam Kanan Hasil, Abu Tariq Jamaluddin, dalam hujahannya berkata, peruntukan itu sudah lama wujud sejak 70-an lagi, maka tidak timbul persoalan sama ada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) angkuh dalam menuntut pembayaran cukai taksiran.

Beliau berkata, tidak adil kepada pembayar cukai lain yang membayar cukai taksiran masing-masing tepat pada masanya jika Najib selaku defendan diberikan pengecualian.

Katanya, malah Najib sudah diberi dua kali notis untuk membuat pembayaran, tetapi pihak LHDN tidak menerima sebarang permintaan daripada defendan (Najib) untuk mengatur pembayaran.

"Berikutan itu kami (LHDN) memfailkan saman untuk menuntut pembayaran ini.

"Tuntutan saman ini konsisten dengan Seksyen 106(3) Akta Cukai Pendapatan yang memberikan kuasa kepada mahkamah untuk tidak mendengar isu berhubung aduan mengenai taksiran.

"Ini adalah hasrat penggubal undang-undang dan ia walaupun nampak agak kasar, mereka perlu bayar dahulu...jika tidak berpuas hati mereka boleh failkan rayuan terhadap keputusan Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (ICSC)," katanya.

Abu Tariq berkata demikian dalam permohonan LHDN untuk mendapatkan penghakiman terus (tanpa perbicaraan) melalui saman dikemukakan terhadap Najib bagi menuntut cukai pendapatan berjumlah RM1.69 bilion.

Sementara itu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Najib berhujah, niat plaintif untuk mendapatkan penghakiman terus ialah supaya anak guamnya tidak boleh berbuat apa-apa untuk melawan tuntutan saman itu.

Peguam itu berkata, peruntukan Seksyen 106(3) yang menafikan kuasa kehakiman menjadikan hakim dan kehakiman hanya sebagai 'rubber stamping' (memberi kelulusan secara automatik tanpa pertimbangan).

Katanya, niat plaintif hanya untuk mendapatkan penghakiman terus supaya ia dibawa terus kepada perbicaraan di hadapan suruhanjaya untuk taksiran tanpa pihaknya berupaya untuk melawan.

"Mereka katakan apabila menerima notis taksiran ini, kami tidak ada pilihan...bukankah ini satu pencerobohan kepada kuasa kehakiman yang mana mahkamah tidak boleh berbuat apa-apa?

"Anggaplah jika mahkamah benarkan penghakiman terus ini, mereka boleh mengambil tindakan menindas terhadap anak guam saya yang menegaskan beliau (Najib) tidak berhutang satu sen pun," katanya.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak, Hakim Datuk Ahmad Bache berkata, beliau memerlukan masa untuk membuat keputusan dan akan memaklumkan tarikh keputusan kepada peguam plaintif dan defendan seminggu sebelumnya.

Pada 28 Februari lalu, mahkamah menolak permohonan Najib bagi menangguhkan prosiding saman LHDN terhadapnya untuk membayar cukai pendapatan berjumlah RM1.69 bilion, sementara menunggu rayuannya berhubung taksiran cukai kepada LHDN.

Pada 25 Jun 2019, kerajaan menerusi LHDN, menyaman Ahli Parlimen Pekan itu dan menuntut RM1.69 bilion bagi cukai pendapatan yang belum dibayar, kadar faedah lima peratus setahun daripada tarikh penghakiman, kos dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Berita Harian X