Rabu, 17 Jun 2020 | 9:03pm
(Gambar fail) Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh.
(Gambar fail) Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh.

Hannah Yeoh akan dipanggil rekod keterangan di Bukit Aman - Polis

KUALA LUMPUR: Polis akan memanggil bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh, ke Bukit Aman untuk direkod keterangan bagi membantu siasatan berhubung kenyataan dalam Facebook, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata kenyataan itu didakwa ada kecenderungan menghasut dan menggugat ketenteraman awam.

"Pada 11 Mac lalu, siasatan dimulakan ke atas kenyataan ditularkan pemilik akaun Facebook 'Hannah Yeoh' kerana mengeluarkan kenyataan berkenaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Ia masing-masing kerana kecenderungan menghasut, mempunyai niat mengapi-apikan atau yang mungkin mengapi-apikan mana-mana golongan atau kaum melakukan sesuatu kesalahan terhadap mana-mana golongan atau kaum lain, serta penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Huzir sekali gus menggesa orang awam supaya tidak menyebarkan kenyataan berunsur hasutan yang boleh mencetuskan suasana tidak harmoni dalam masyarakat.

"Polis ingin menegaskan, tiada siapa yang akan terlepas daripada tindakan sekiranya didapati melanggar sistem undang-undang negara," katanya.

Berita Harian X