Sabtu, 13 Jun 2020 | 11:04am
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Mabuk, bising lelaki Myanmar maut ditikam

BUKIT MERTAJAM: Seorang lelaki warga Myanmar maut ditikam rakan senegara di sebuah rumah kedai dua tingkat yang dijadikan asrama pekerja dekat Kampung Juru, di sini, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad, berkata polis menerima panggilan telefon daripada seorang wanita pada jam 12.20 tengah malam memaklumkan sekumpulan pekerjanya sedang bergaduh.

"Dalam pergaduhan itu salah seorang daripada mereka bertindak menikam dada dan bahu kiri mangsa dengan pisau pemotong sayur.

"Akibatnya, mangsa yang dikenali sebagai Amko berusia dalam lingkungan 30-an berlumuran darah dan tidak sedarkan diri lalu meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Shafee berkata, pemeriksaan yang dilakukan ke atas kamera litar tertutup (CCTV) mendapati terdapat empat imej lelaki melarikan diri dengan menaiki basikal.

"Berdasarkan maklumat majikan, terdapat lima pekerjanya tinggal di rumah itu termasuk mangsa.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk proses bedah siasat," katanya.

Jelasnya, mangsa bersama sekumpulan pekerja warga asing itu bekerja di sebuah kilang yang menjalankan perniagaan alat ganti motosikal untuk pasaran dalam negara dan juga di luar negara.

Shafee berkata, polis berjaya menahan suspek yang menikam mangsa apabila dia pulang ke rumah itu pada jam 5.45 pagi tadi.

"Suspek mengakui dia menikam mangsa menggunakan pisau pemotong sayur sebelum membawa lari senjata itu dan dibuang berdekatan taman rekreasi dekat sini.

"Dia dikatakan menikam mangsa kerana tidak tahan melihat kelakuan lelaki itu yang mabuk dan berbuat bising sebelum berlaku pergaduhan yang membawa kematian mangsa," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Berita Harian X