Jumaat, 12 Jun 2020 | 11:55pm

6 diberkas kes samun bersenjata di asrama pekerja kilang

KUALA LUMPUR: Polis memberkas enam lelaki tempatan disyaki terbabit kes samun bersenjata pada Sabtu lalu di sebuah asrama pekerja kilang di kawasan industri Rawang, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata suspek berusia 24 hingga 61 tahun terbabit ditahan dalam beberapa serbuan oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, di sekitar Bandar Country Homes, Rawang, bermula jam 3 petang semalam.

"Polis turut merampas 14 telefon bimbit, lima motosikal dan dua bilah parang yang dipercayai diguna untuk melakukan samun.

"Lima suspek berkenaan memiliki rekod jenayah dadah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, penangkapan enam lelaki itu dipercayai turut menyelesaikan tiga kes samun jalanan di sekitar Rawang dan Country Homes.

"Polis sedang mengenal pasti pembabitan suspek berkenaan dalam kes lain," katanya.

Arifai berkata, semua suspek itu direman tujuh hari hingga Jumaat depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan. – BERNAMA

Berita Harian X