Jumaat, 12 Jun 2020 | 3:01pm
Ketua Polis Daerah Seberang Prai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor
Ketua Polis Daerah Seberang Prai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor

12 lelaki Bangladesh ditahan kes bunuh rakan senegara

KEPALA BATAS: Seramai 12 lelaki Bangladesh ditahan bagi membantu siasatan susulan penemuan mayat rakan senegara yang dijumpai dengan kesan kecederaan di kepala, dipercayai akibat dibunuh dalam kebun sayur Jalan Ara Kuda di sini pada Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata suspek berusia 25 hingga 40 tahun adalah pekerja di kebun sayur itu, ditahan semalam selepas siasatan awal polis mendapati kemungkinan ada di antara warga asing terbabit.

"Semua warga asing itu ditahan di rumah pekerja yang ada dalam kawasan kebun sayur berkenaan. Polis percaya ada dalam kalangan mereka terlibat dalam kejadian samun serta bunuh itu.

"Suspek dipercayai tahu pergerakan mangsa termasuk ketika ke rumah majikan pada malam kejadian iaitu pada Selasa malam bagi mengambil wang gaji pekerja untuk dihantar kepada keluarga (pekerja) di Bangladesh," katanya.

Noorzainy berkata, siasatan awal polis tidak menolak kemungkinan kejadian itu dilakukan lebih daripada seorang dan mereka dipercayai mahu menyamun wang yang baru diambil mangsa, namun lelaki itu melawan sebelum berlaku pergelutan sehingga suspek bertindak memukul sehingga mati.

Noorzainy berkata, suspek turut melarikan wang gaji pekerja asing hampir RM4,000 yang baru diambil mangsa untuk dikirimkan kepada keluarga mereka kerana duit tersebut tiada bersama mayat lelaki berkenaan.

Katanya, polis percaya dengan penahanan 12 lelaki itu, pihaknya dapat menyelesaikan kes tersebut dan kesemua mereka kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes berkenaan yang disiasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

Mayat mangsa, Mohammad Abdul Lofti, 59, ditemukan dalam keadaan terbaring oleh pekerja di kebun sayur itu kira-kira jam 7 pagi Rabu ketika dalam perjalanan ke kebun untuk bekerja.

Pemeriksaan awal menemui banyak darah pada badan mangsa serta kesan koyakan di dahi kiri dan atas kepala lelaki tersebut disyaki akibat dipukul dengan objek tumpul serta keras, lebam di pipi kiri serta cedera di lutut kanan.

Selain itu, barangan peribadi milik mangsa berada dalam bungkusan plastik bersamanya antaranya kertas tambah nilai, ubatan dan telefon bimbit serta wang tunai RM418 di sisi kiri tangannya namun wang gaji pekerja sebanyak RM4,000 hilang. – BERNAMA

Berita Harian X