Khamis, 11 Jun 2020 | 4:57pm
WARGA emas di bawa ke Mahkamah Sesyen Kulim, hari ini atas tiga pertuduhan meliwat kanak-kanak lelaki, tahun lalu. Foto/Nor Farhani Che Ad
WARGA emas di bawa ke Mahkamah Sesyen Kulim, hari ini atas tiga pertuduhan meliwat kanak-kanak lelaki, tahun lalu. Foto/Nor Farhani Che Ad

Warga emas liwat kanak-kanak lelaki dipenjara 8 tahun

KULIM: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan tiga sebatan ke atas seorang lelaki warga emas yang didapati bersalah meliwat seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun, pada Oktober tahun lalu.

Tertuduh, Shafie Osman, 62, membuat pengakuan bersalah melakukan kesalahan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Musyiri Peet.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan sengaja melakukan persetubuhan luar tabii tanpa kerelaan mangsa, di sebuah tandas di Dewan Serbaguna Kampung Pondok Labu, Keladi, pada jam 2 petang, 27 Oktober 2019.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama terhadap mangsa tanpa kerelaan pada jam 3 petang pada tarikh dan lokasi sama.

Bagi pertuduhan ketiga pula, tertuduh didapati melakukan perbuatan sama terhadap mangsa tanpa kerelaan di sebuah Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA, di Kampung Keladi di sini, pada jam 12 tengah malam, 28 Oktober 2019.

Tertuduh didakwa melakukan semua kesalahan itu mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan.

Berikutan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan dengan hukuman penjara berjalan serentak, mulai hari ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Akmal Abdul Ghani dan tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Fieza Fazlin Fandi.

Berita Harian X