Khamis, 11 Jun 2020 | 2:57pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

8 didenda memandu dalam keadaan mabuk

KUALA LUMPUR: Akibat memandu di bawah pengaruh alkohol, lapan lelaki masing-masing didenda RM2,200 hingga RM2,400 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Puteri Nursheila Rahimi menjatuhkan hukuman itu ke atas lapan lelaki berusia 28 hingga 57 tahun selepas mereka mengaku bersalah memandu kereta di bawah pengaruh alkohol antara 86 miligram (mg) hingga 149 mg dalam 100 mililiter darah, melebihi had yang ditetapkan iaitu 80mg.

Tertuduh ialah Ng Wei Kean, 28 ; Ong Hup Heng ,58 ; Lim Wang Sin ,36 ; Ooi Choo Ching ,38 ; Tan Wah On ,38; Tan Peng Koon ,50; Mak Wai Ming , 57 dan M Segaran, 51.

Jika gagal membayar denda mereka akan dipenjara empat hingga lima minggu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Kuchai Lama, Jalan Kepong, Jalan Kerinchi Link dan Jalan Duta Kiara di sini antara 10.15 malam dan 12.11 tengah malam, semalam dan hari ini (10 dan 11 Jun).

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM6,000 dan boleh dipenjarakan sehingga 12 bulan serta lesen percubaan dibatalkan.

Pegawai Pendakwa, Inspektor Abdullah Khazali memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran manakala kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda minimum atas alasan mereka menanggung keluarga serta telah insaf. – BERNAMA

Berita Harian X