Khamis, 11 Jun 2020 | 1:49pm

Suri rumah mengaku tidak bersalah bunuh anak tiri

KULIM: Seorang suri rumah tidak mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan membunuh anak tirinya di Taman Serai Wangi 4, Padang Serai.

Tertuduh, Rosniza Abd Wahab, 35, membuat pengakuan itu selepas pendakwaan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Che Rohana Ismail.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kematian ke atas Muhammad Kahfi Mohd Khairul Nazri yang berusia dua tahun 10 bulan, pada jam 9 pagi di rumah mereka, pada 29 Mei lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Akmal Abdul Ghani dan tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 13 Julai depan sebagai sebutan semula kes.

Terdahulu dalam pertuduhan berasingan di Mahkamah Sesyen, Rosniza dan suaminya, Mohd Khairul Nazri Md Noor, 36, yang juga bapa kandung kanak-kanak terbabit, mengaku tidak bersalah atas kesalahan mendera dan mencederakan mangsa.

Kedua-dua mereka membuat pengakuan itu selepas pendakwaan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Musyiri Peet.

Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri itu di alamat dan waktu sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan ke atas mangsa telah mendera dan menyebabkan kecederaan fizikal terhadap kanak-kanak berkenaan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Musyiri menetapkan 13 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula dan tidak membenarkan kedua tertuduh diikat jamin kerana kesalahan yang dilakukan serius.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Akmal Abdul Ghani, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Fieza Fazlin Fandi.

Sebelum ini, media melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki disahkan meninggal dunia di Hospital Kulim, akibat didera oleh bapa dan ibu tirinya.

Bapa mangsa yang bertugas sebagai jurutera membuat laporan polis pada 30 Mei lalu, mendakwa anaknya itu terjatuh dari katil, sebelum kedua-dua pasangan itu ditahan selepas keputusan hasil bedah siasat diperolehi.

Pasangan suami isteri dituduh mendera kanak-kanak lelaki berusia dua tahun 10 bulan sehingga menyebabkan kematian dibawa ke Mahkamah Kulim hari ini. -Foto NSTP/NOR FARHANI CHE AD
Pasangan suami isteri dituduh mendera kanak-kanak lelaki berusia dua tahun 10 bulan sehingga menyebabkan kematian dibawa ke Mahkamah Kulim hari ini. -Foto NSTP/NOR FARHANI CHE AD
Berita Harian X