Ahad, 7 Jun 2020 | 2:24pm
Tertuduh (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudara perempuannya. - NSTP/Zatul Iffah Zolkiply
Tertuduh (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudara perempuannya. - NSTP/Zatul Iffah Zolkiply

Tukang kebun didakwa lakukan amang seksual terhadap budak

KUALA TERENGGANU: Seorang tukang kebun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudara perempuannya berusia lapan tahun.

Tertuduh berusia 53 tahun itu membuat pengakuan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa di sebuah rumah di Marang pada Julai tahun lalu.

Dia yang didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan direkodkan, mahkamah menetapkan 13 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi sepanjang prosiding berlangsung.

Tertuduh juga perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran dua kali setiap bulan selain menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Ka Full manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Nurul Syafikah Mohd Shafie.

Berita Harian X