Ahad, 7 Jun 2020 | 12:11am
Polis menumpaskan sindiket pemalsuan dokumen keputusan ujian saringan COVID-19 yang negatif bagi warga asing selepas penahanan dua lelaki Bangladesh, semalam. - Foto BERNAMA
Polis menumpaskan sindiket pemalsuan dokumen keputusan ujian saringan COVID-19 yang negatif bagi warga asing selepas penahanan dua lelaki Bangladesh, semalam. - Foto BERNAMA

Sindiket dokumen palsu ujian saringan COVID-19 warga asing tumpas

KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan sindiket pemalsuan dokumen keputusan ujian saringan COVID-19 yang negatif bagi warga asing selepas penahanan dua lelaki Bangladesh, semalam.

Tangkapan suspek dibuat sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di dua premis berasingan di Jalan Alor, di sini, jam 5.40 petang.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata hasil siasatan mendapati premis berkenaan beroperasi sejak dua minggu lalu, dengan menjual setiap dokumen palsu itu berharga RM50.

"Polis mendapati kadar sewaan tapak adalah RM600 sebulan. Premis beroperasi setiap hari bermula jam 12 tengah hari hingga 9 malam.

"Penjaga premis akan ditempatkan di kaunter untuk mengendalikan sebuah komputer riba ketika berurusan dengan pelanggan.

"Sasaran pelanggan dipercayai warga asing. Kedua-dua suspek di dua premis berkenaan bekerja dengan dua lelaki tempatan dan anggaran gaji suspek antara RM1,500 hingga RM1,700 sebulan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mazlan berkata, turut dirampas dua komputer riba, tiga mesin pencetak, dua mesin laminator, empat kertas dipercayai dokumen palsu keputusan COVID-19 dan wang tunai berjumlah RM 1,331 bagi membantu siasatan.

Polis menumpaskan sindiket pemalsuan dokumen keputusan ujian saringan COVID-19 yang negatif bagi warga asing selepas penahanan dua lelaki Bangladesh, semalam. - Foto BERNAMA
Polis menumpaskan sindiket pemalsuan dokumen keputusan ujian saringan COVID-19 yang negatif bagi warga asing selepas penahanan dua lelaki Bangladesh, semalam. - Foto BERNAMA

"Semua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 22 (d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, Seksyen 468 Kanun Keseksaan, Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen," katanya.

Beliau berkata, Polis Kuala Lumpur memandang serius isu pemalsuan dokumen itu dan tindakan tegas akan diambil mengikut undang-undang.

"Sikap tidak bertanggungjawab dan hanya mengutamakan keuntungan sebegini hanya membahayakan orang ramai dan menjejaskan usaha kerajaan untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh hubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan," katanya.


  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X