Jumaat, 5 Jun 2020 | 11:32pm

Lelaki didakwa cabul, rogol anak tiri ditahan

LABUAN: Seorang pengawal keselamatan ditahan selepas dipercayai mencabul dan merogol anak tiri berusia 16 tahun sejak tahun lalu.

Suspek berusia 42 tahun itu ditahan polis jam 1.10 tengah hari tadi.

Difahamkan, mangsa yang tidak tahan diperlakukan sedemikian nekad membuat laporan polis jam 10.26 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad, berkata mangsa mendakwa dirogol oleh suspek beberapa kali sejak 2019 ketika ibu mangsa tiada di rumah.

Beliau berkata, kali terakhir mangsa dicabul jam 6.30 pagi semalam ketika mangsa sedang tidur bersendirian di biliknya di Sungai Bedaun, di sini.

Katanya, suspek secara tiba-tiba masuk ke dalam bilik mangsa dan mencabulnya.

"Mangsa cuba menghalang perbuatan suspek tetapi bapa tirinya tidak mengendahkan.

"Suspek hanya berhenti dengan sendirinya lalu beredar dari bilik mangsa untuk pergi kerja," katanya dalam kenyataan malam ini.

Muhamad Farid berkata, ketika kejadian semalam, ibu mangsa tiada di rumah kerana bekerja, manakala adik beradik mangsa sedang tidur di bilik masing-masing.

"Suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Labuan esok untuk permohonan reman tujuh hari.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan cabul dan Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan bagi kesalahan rogol," katanya.

Berita Harian X