Rabu, 3 Jun 2020 | 2:22pm
Ahli keluarga mangsa keracunan puding meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah hari ini. - NSTP/Ghazali Kori
Ahli keluarga mangsa keracunan puding meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah hari ini. - NSTP/Ghazali Kori

Mangsa puding buih meninggal

KUALA TERENGGANU: Selepas 10 hari bertarung nyawa di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), mangsa keracunan puding buih meninggal dunia hari ini.

Wanita berusia 25 tahun dari Marang menghembuskan nafas terakhir di unit rawatan rapi (ICU) jam 10.40 pagi, akibat kegagalan multiorgan akibat kejutan sepsis.

Difahamkan, mangsa bersama beberapa ahli keluarganya sebelum ini dimasukkan ke HSNZ, selepas mengalami keracunan akibat makan puding buih yang dibeli secara atas talian pada 22 Mei lalu.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Dr Alias Razak berkata, Jabatan Kesihatan Terengganu sudah membuat siasatan dan mengetahui punca.

Ahli keluarga mangsa hadir di Hospital Sultanah Nur Zahirah hari ini. - NSTP/Ghazali Kori
Ahli keluarga mangsa hadir di Hospital Sultanah Nur Zahirah hari ini. - NSTP/Ghazali Kori

"Tindakan kepada peniaga juga sudah diambil. Cuma nasihat saya kepada peniaga makanan di seluruh negara supaya menitik berat aspek kesihatan, terutama pemeriksaan kesihatan dan sebagainya. Mesti bersih bagi memastikan tidak ada apa-apa penyakit.

"Selain itu, jangan gunakan barang yang sudah tamat tempoh kerana ini membabitkan nyawa manusia. Kita tidak tahu walaupun penyakit ini nampak biasa dan tidak membawa maut tetapi apa-apa boleh berlaku.

"Bagi pihak kerajaan negeri, kita simpati dan harap keluarga bersabar dengan dugaan diberikan.

"Semua pesakit lain yang ditempatkan di HSNZ dan hospital swasta sudah pulih sudah dibenarkan pulang," katanya di sini hari ini.

Sebelum ini, seramai 99 mangsa dari Kuala Terengganu dan Marang dikejarkan ke HSNZ kerana mengalami muntah dan cirit-birit selepas menikmati puding buih yang dibeli melalui dalam talian.

Ia membabitkan 20 keluarga iaitu 77 pesakit di Kuala Terengganu, manakala 22 pesakit dari Marang.

Telur tamat tempoh dipercayai digunakan dalam pembuatan puding buih menyebabkan kes keracunan itu.

Berita Harian X