Selasa, 2 Jun 2020 | 1:13pm
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim

Geng Bengali disertai Rohingya, dalang pecah pejabat tumpas

KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan 'Geng Bengali' selepas menahan lapan individu termasuk lelaki etnik Rohingya, kerana disyaki pecah masuk pejabat di Plaza Damansara, Bukit Damansara, di sini, awal bulan lalu.

Menerusi Op Pintu, anggota Bahagian Risikan Jenayah (D4) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Kuala Lumpur menahan dua lelaki dan lima wanita terdiri daripada warga tempatan dan asing dari India, China, Bangladesh dan Indonesia, di Klang, kelmarin.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata ia membawa kepada penangkapan seorang lagi lelaki tempatan di kawalan perumahan flat di sini, semalam.

"Kesemua suspek berusia antara 28 hingga 59 tahun. Hasil siasatan mendapati barangan yang hilang di pejabat itu ialah komputer riba, monitor komputer, telefon bimbit, unit pemprosesan komputer (CPU), kamera dan sejumlah wang tunai.

"Jumlah kerugian keseluruhan dianggarkan bernilai RM67,000. Dalam operasi itu, polis merampas pelbagai barangan termasuk pistol, peluru, pisau dan parang bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, tiga daripada suspek itu mempunyai 16 rekod jenayah bagi kes mengikut Akta Dadah Berbahaya, Seksyen 379A Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 380 KK, dan Seksyen 372B KK.

"Kumpulan ini menyasar pejabat dan kediaman sekitar ibu negara dan Selangor untuk dipecah masuk serta melarikan barang berharga yang mudah untuk dijual semula seperti komputer riba, televisyen dan telefon bimbit.

"Geng Bengali ini dipercayai mula aktif sejak tahun lalu. Polis berjaya menyelesaikan sebanyak 10 kes jenayah di Kuala Lumpur dan Selangor dengan penangkapan kesemua suspek terbabit yang kini disiasat mengikut Seksyen 457 KK," katanya.

Orang awam yang mempunyai maklumat individu lain yang turut terbabit dengan kumpulan itu boleh hubungi Gerakan Khas 24 Jam JSJ Polis Kuala Lumpur menerusi talian 03-2146 0670 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999.

Berita Harian X