Isnin, 1 Jun 2020 | 5:04pm

Organisasi komersial, syarikat boleh kena tindakan jika tak lapor rasuah

KUALA LUMPUR: Pengurusan atasan atau wakil syarikat boleh didapati bersalah sekiranya mereka tidak mengambil tindakan terhadap kelakuan rasuah pekerja atau pihak bersekutunya.

Perkara ini termaktub dalam peruntukan undang-undang baharu, Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Pindaan 2018) yang berkuat kuasa, hari ini.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan media pada 21 Mei 2020 mengumumkan mengenai seksyen itu dan penetapan tarikh permulaan kuat kuasa pemakaian Seksyen 17A Akta SPRM 2009 dikeluarkan melalui kuasa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan menerusi Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 27 Mei 2020.

Pindaan peruntukan ini dan beberapa pindaan seksyen lain, sebelum ini telah dilaksanakan melalui Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (Pindaan) 2018 (Akta A1567).

Sejurus pindaan itu diwartakan pada 4 Mei 2018, Seksyen 17A Akta SPRM 2009 telah diberikan tempoh bertenang selama dua tahun untuk memberi ruang kepada organisasi komersial bagi melakukan persediaan sewajarnya.

"Secara asasnya, menerusi Seksyen 17A Akta SPRM 2009 (Pindaan 2018), organisasi komersial juga mempunyai liabiliti dan boleh dihukum sekiranya pekerja atau pihak bersekutunya terbabit dengan jenayah rasuah.

"Organisasi komersial itu boleh disifatkan bersalah dalam keadaan sama ada pihak pengurusan atasannya atau wakilnya tahu mengenai kelakuan rasuah yang dilakukan oleh pekerja atau pihak bersekutunya," kata kenyataan itu.

SPRM sebelum ini dilaporkan sedang meneliti cadangan penangguhan pelaksanaan seksyen itu yang sepatutnya dilaksanakan hari ini. Ia berikutan terdapat permintaan terutama daripada syarikat yang tidak bersedia dari segi pelan antirasuah yang bersesuaian.

Menurut kenyataan itu, organisasi komersial disabit kesalahan hukuman di bawah Seksyen 17A(2) adalah denda tidak kurang 10 kali ganda daripada nilai suapan atau RM1 juta, mengikut mana-mana yang lebih tinggi atau dipenjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Organisasi komersial boleh membela diri jika dapat menunjukkan bahawa organisasi itu mempunyai 'tatacara mencukupi' yang telah dilaksanakan bagi mencegah berlakunya rasuah dalam operasi atau aktiviti perniagaan mereka.

Peruntukan undang-undang yang juga dikenali sebagai liabiliti korporat ini bertujuan menggalakkan aktiviti perniagaan dijalankan dengan integriti tanpa rasuah dan mempromosi amalan tadbir urus baik dalam organisasi dan bukan bertujuan untuk menghukum organisasi komersial semata-mata.

Maklumat lanjut mengenai peruntukan undang-undang baharu ini boleh dilayari di portal rasmi SPRM di https://www.sprm.gov.my sementara bagi mendapatkan garis panduan tatacara mencukupi pula, orang ramai boleh melayari pautan http://giacc.jpm.gov.my/garis-panduan-tatacara/.

Berita Harian X