Sabtu, 30 Mei 2020 | 1:28pm
Tujuh sekeluarga, melecur anggota badan dalam kejadian kebakaran sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Cahaya Alam Seksyen U12, Shah Alam, awal pagi ini
Tujuh sekeluarga, melecur anggota badan dalam kejadian kebakaran sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Cahaya Alam Seksyen U12, Shah Alam, awal pagi ini

Tujuh sekeluarga melecur, terjun dari rumah terbakar

SHAH ALAM: Tujuh daripada lapan sekeluarga, melecur ketika cuba menyelamatkan diri dalam kebakaran sebuah rumah di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12, awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.36 pagi dan sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Anggerik dan BBP Shah Alam bergegas ke lokasi kejadian.

"Kebakaran itu membabitkan sebuah teres dua tingkat dengan keluasan 1,650 kaki persegi dan terbakar 100 peratus.

"Ketika kejadian, difahamkan kesemua mangsa sedang tidur di tingkat atas kediaman itu. Menurut maklumat daripada mangsa, kebakaran itu berpunca dari tingkat bawah rumah.

"Oleh kerana terperangkap, kesemua mangsa bertindak terjun daripada tingkat atas kediaman berkenaan untuk menyelamatkan diri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, rumah berkenaan didiami lapan sekeluarga terdiri daripada sepasang suami isteri bersama enam anak berusia empat hingga 17 tahun.

Katanya, mangsa yang melecur adalah wanita dewasa (ibu) yang melecur 20 peratus dan lelaki dewasa (ayah) melecur lima peratus.

"Anak ke empat pasangan itu iaitu kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun melecur 40 peratus manakala anak ke enam iaitu kanak-kanak lelaki berusia empat tahun pula melecur 20 peratus.

"Tiga lagi anak pasangan berkenaan berusia 17 (perempuan), 12 serta 10 tahun (lelaki) melecur sebanyak lima peratus dan anak kedua (lelaki) berusia 14 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Norazam berkata, kesemua mangsa di bawa ke Hospital Shah Alam untuk rawatan lanjut.

Berita Harian X