Jumaat, 29 Mei 2020 | 3:16pm

Warga emas ditipu RM60,000

SHAH ALAM: Seorang wanita warga emas kerugian RM60,000 selepas ditipu kekasih siber yang dikenali melalui Facebook melalui sindiket 'Parcel Scam".

Wanita bujang berusia 60 tahun itu mengenali kekasihnya yang kononnya berada di Switzerland sejak dua bulan lalu sebelum menyedari ditipu suspek.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib, berkata, sepanjang tempoh perkenalan itu, pelbagai janji manis ditabur suspek yang dipercayai didalangi sindiket warganegara Nigeria.

"Suspek kononnya, menjanjikan barangan berharga seperti emas, beg tangan, wang tunai bernilai USD2 juta yang akan dihantar sebagai hadiah tanda cinta kepada mangsa.

"Mangsa yang termakan kata-kata manis si 'awang hitam' itu diperdaya untuk menyerahkan atau membuat pembayaran wang kepada ejen kurier sebagai kos proses untuk melepaskan barangan yang ditahan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sini, hari ini.

Bagaimanapun, selepas beberapa transaksi pembayaran dilakukan mangsa yang membabitkan jumlah yang besar, mangsa masih tidak menerima barangan yang dijanjikan.

"Mangsa menyedari ditipu selepas kehabisan wang simpanan untuk membuat transaksi seterusnya sebelum tampil membuat laporan polis pada 23 Mei lalu.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota Risikan dan Operasi dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Shah Alam melalui operasi 'Ops Tiong' berjaya menahan kira-kira lima lelaki warga Nigeria yang dipercayai terbabit dengan kegiatan sindiket penipuan ini.

"IPD Shah Alam berjaya menuduh kesemua suspek mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda, sebat dan penjara boleh sampai 10 tahun," katanya.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib (dua dari kiri) menunjukkan barang milik suspek tangkapan kes parcel scam ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam. NSTP/FAIZ ANUAR
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib (dua dari kiri) menunjukkan barang milik suspek tangkapan kes parcel scam ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam. NSTP/FAIZ ANUAR
Berita Harian X