Sabtu, 23 Mei 2020 | 10:01am
Antara kenderaan yang tersangkut di Lebuh Wadi Ehsan di Desa Pinggiran Putra menghala ke PICC akibat banjir kilat, semalam. - NSTP/FOTO IHSAN APM PUTRAJAYA
Antara kenderaan yang tersangkut di Lebuh Wadi Ehsan di Desa Pinggiran Putra menghala ke PICC akibat banjir kilat, semalam. - NSTP/FOTO IHSAN APM PUTRAJAYA

Putrajaya dilanda banjir kilat

PUTRAJAYA: Hujan lebat lebih dua jam menyebabkan beberapa kawasan di pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan ini dilanda banjir kilat, semalam.

Menurut laporan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Putrajaya, antara kawasan terjejas teruk ialah Lebuh Wadi Ehsan di Desa Pinggiran Putra menghala ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) yang turut menyebabkan kesesakan lalu lintas sejauh beberapa kilometer.

Katanya, APM menerima laporan kes banjir kilat pada jam 5.22 petang semalam sebelum tiba di tiba di lokasi kira-kira 20 minit kemudian.

"Setiba di lokasi, anggota APM segera membantu menolak beberapa kenderaan yang tersangkut untuk cuba mengeluarkannya dari kawasan banjir berkenaan.

"Pada masa sama, beberapa anggota turut membantu mengawal lalu lintas dan memastikan kenderaan tidak ditenggelami air yang melimpah ke tengah jalan.

"Pada jam 6.05 petang, pihak APM Putrajaya menerima bantuan daripada lima anggota APM Sepang untuk mengawal lalu lintas, selain mengeluarkan mangsa yang terperangkap di dalam sebuah lori satu tan," katanya.

Menurut APM Putrajaya, pihaknya berjaya menyelesaikan masalah banjir kilat dan mengeluarkan kenderaan yang tersangkut, kira-kira jam 7.50 malam.

Berita Harian X