Sabtu, 23 Mei 2020 | 8:34am
Anggota bomba melakukan operasi pemadaman kebakaran tangki minyak di Kampung Paya, Port Dickson. - NSTP/FOTO IHSAN BOMBA
Anggota bomba melakukan operasi pemadaman kebakaran tangki minyak di Kampung Paya, Port Dickson. - NSTP/FOTO IHSAN BOMBA

Kebakaran tangki minyak berjaya dikawal

PORT DICKSON: Kebakaran tangki minyak (T1108) di Kampung Paya, di sini, semalam, berjaya dikawal daripada merebak ke tangki bersebelahan (T1107) dengan membuat pemindahan minyak secara pantas.

Komander Operasi yang juga Pengarah Bahagian Operasi Putrajaya, Nor Hisham Mohammad, berkata kebakaran tangki T1108 milik sebuah syarikat itu membabitkan jumlah keseluruhan 63,000 liter minyak.

"Tindakan awal operasi ini ialah melaksanakan kaedah cooling pada tangki bersebelahan, T1107.

"Minyak daripada tangki T1108 berjaya dipindahkan ke tangki T1105. Setakat ini, sebanyak 11,000 meter kubik minyak sudah berjaya dipindahkan ke tangki T1105.

"Pusat gerakan operasi Negeri Sembilan menggerakkan bantuan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Kemang serta BBP Seremban 2 bagi kerja pemadaman kebakaran tangki," katanya dalam satu kenyataan, di sini, awal pagi tadi.

Menjelaskan lanjut, beliau berkata, BBP Port Dickson menerima panggilan kecemasan pada jam 4.15 petang semalam berhubung insiden kebakaran tangki minyak di Jalan Kampung Paya.

"BBP Port Dickson tiba di tempat operasi pada jam 4.19 petang dengan Ketua Balai dan sembilan anggota bersama jentera," katanya.

Beliau berkata, pihak bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke tangki T1107 dengan membabitkan tiga jentera FRT dan masing-masing sebuah jentera HAZMAT, HPPM, BATV dan ALP.

Katanya, kekuatan operasi membabitkan 58 anggota daripada Ibu Pejabat JBPM Putrajaya, Pegawai Kanan JBPM Negeri Sembilan serta JBPM Negeri Sembilan, selain petugas syarikat dan pasukan tindak balas kecemasan.

Berita Harian X