Jumaat, 22 Mei 2020 | 9:29pm
Mendiang Paramasivam Karuppiah Pillai. Foto NSTP / E-mel
Mendiang Paramasivam Karuppiah Pillai. Foto NSTP / E-mel

Ejen akhbar khidmat 35 tahun meninggal dunia

KLANG: Ejen pengedaran akhbar Paramasivam Karuppiah Pillai, 54, yang berkhidmat selama 35 tahun meninggal dunia.

Mendiang ditemui rebah di dalam bilik air di rumahnya, selepas pulang dari perjalanan ke Sabak Bernam, Selangor, dua minggu lalu.

Mendiang yang berasal dari Klang, Selangor itu meninggalkan dua anak lelaki, P Laxman, 22, dan P Divyan, 20, manakala isterinya, C Uma Devi Pillai meninggal dunia akibat kanser pada 2016.

Mengenang keperibadian mendiang ayahnya, Divyan berkata, Paramasivam muncul sebagai ejen akhbar terbaik bagi tiga syarikat penerbitan berlainan di Selangor, selain bertanggungjawab mengedar lebih 200,000 naskhah sehari.

"Ayah mengikut jejak langkah mendiang datuk sebagai pengedar akhbar dari rumah ke rumah mulai usia 19 tahun. Ketika mula berkecimpung, beliau hanya menggunakan basikal untuk menghantar setiap naskhah.

"Beliau kemudian beralih menggunakan motosikal, sebelum membuka agensi pengedaran miliknya, West Point Periodicals, pada 1998.

"Mendiang pernah bercerita kisah hidupnya. Kesusahan ketika mula bekerja dan tidak mahu nasib sama menimpa kami sekeluarga. Beliau sangat rapat dengan keluarga dan lebih kerap menghabiskan masa dengan kami selepas kematian ibu," katanya.

Divyan berkata, ayahnya jarang berada di rumah ketika dua beradik itu membesar ekoran jadual kerja yang padat, selain mendiang seorang yang rajin, berdisiplin dan agak pemalu.

"Ayah berjaya membeli rumah hasil daripada wang yang dikumpul pada 2008, selain berhasil memiliki kedai sendiri di Klang serta mempunyai enam kakitangan. Kini, hanya kami berdua yang tinggal," katanya.

Berita Harian X