Sabtu, 16 Mei 2020 | 8:42am
Telur penyu dilarang daripada dijual
Telur penyu dilarang daripada dijual

Penjual telur penyu dalam talian boleh kena tindakan undang-undang

KUALA LUMPUR: Sebarang bentuk penjualan haiwan marin yang terancam seperti penyu termasuk telurnya, adalah dilarang serta boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dalam kenyataannya, memaklumkan menerima aduan daripada orang awam menerusi media sosial Facebook dan Twitter bahawa terdapat aktiviti penjualan telur penyu dari Terengganu yang diiklankan menerusi laman beli belah dalam talian pada 12 Mei lalu.

Bagaimanapun, beliau berkata, tinjauan jabatan itu mendapati iklan tersebut sudah digugurkan sejak dua hari lalu.

"Semua negeri melarang penjualan semua spesies penyu termasuk telur. Kecuali negeri Terengganu yang hanya melarang penjualan bagi spesies penyu belimbing sahaja di mana penguatkuasaan tersebut mengguna pakai enakmen atau kaedah-kaedah perikanan berhubung penyu dan telur penyu negeri.

"Namun penyeragaman perundangan seharusnya memastikan penyu dilindungi mengikut Akta Perikanan 1985 (Akta 317), Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686) serta Enakmen Penyu Negeri dan Kaedah-kaedah Perikanan berhubung penyu dan telur penyu negeri," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan bagi mengimbangi ekosistem hidupan marin itu, DOF memandang serius sebarang aktiviti penjualan sumber terancam di negara ini yang juga ikon pelancongan kepada peminat konservasi alam sekitar, dan pihak yang melanggar akta-akta berkenaan boleh diambil tindakan penguatkuasaan.

Penyu antara hidupan yang dilindungi mengikut Akta Perikanan 1985 dan ada empat spesies penyu yang dilindungi sepenuhnya di negara ini iaitu penyu belimbing, penyu agar, penyu karah dan penyu lipas manakala di peringkat global semua spesies penyu adalah tersenarai dalam perlindungan Akta 686. – BERNAMA

Berita Harian X