Khamis, 14 Mei 2020 | 5:08pm
Sebanyak 262 kertas siasatan membabitkan penyebaran berita dan maklumat palsu sudah dibuka setakat 11 Mei lalu, bagi tahun ini. - Foto BERNAMA
Sebanyak 262 kertas siasatan membabitkan penyebaran berita dan maklumat palsu sudah dibuka setakat 11 Mei lalu, bagi tahun ini. - Foto BERNAMA

262 kertas siasatan berita palsu setakat 11 Mei

PUTRAJAYA: Sebanyak 262 kertas siasatan membabitkan penyebaran berita dan maklumat palsu sudah dibuka setakat 11 Mei lalu, bagi tahun ini.

Justeru, Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang dengan sengaja cuba mencetuskan provokasi atau mengganggu-gugat keselamatan dan ketenteraman awam dengan menyebarkan maklumat atau berita palsu.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata pihaknya mendapati penyebaran maklumat palsu atau berita berunsur hasutan semakin berleluasa sehingga boleh mewujudkan suasana tidak tenteram khususnya apabila berita berkenaan menyentuh isu-isu sensitif dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata, berdasarkan statistik, terdapat trend peningkatan kes pada 2018 dan 2019 membabitkan kesalahan menghasut terhadap Institusi Diraja, kaum, agama dan hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau hak kedaulatan yang dilindungi oleh Bahagian 3 Perlembagaan Persekutuan atau Perkara 152, 153 dan 181 Perlembagaan Persekutuan.

Sepanjang 2017, sebanyak sembilan kertas siasatan yang membabitkan kesalahan menghasut telah dibuka dan sebanyak 31 kertas siasatan pula dibuka pada 2018, manakala 78 kertas siasatan lagi bagi 2019.

"Jumlah kes yang disiasat ini menunjukkan peningkatan yang ketara pada setiap tahun.

"Terkini hingga 11 Mei 2020 sebanyak 262 kertas siasatan telah dibuka oleh pihak berkuasa berkaitan penyebaran berita palsu berbaur hasutan yang menimbulkan keresahan rakyat. KDN memandang serius perkara ini kerana ia boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam.

"Bagi memastikan keharmonian dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara, KDN tidak akan teragak-agak mengambil tindakan menggunakan segala peruntukan perundangan sedia ada seperti Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 termasuk Akta Hasutan 1948," katanya.

Sehubungan itu, Hamzah menasihatkan agar semua pihak tidak mengeluarkan atau menyebarkan maklumat palsu atau berita berunsur hasutan bagi menjamin keharmonian dan kesejahteraan masyarakat.

Berita Harian X