Khamis, 14 Mei 2020 | 4:56pm
Bekas Pengerusi FELCRA, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Ezette A Samad. - Foto fail NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Bekas Pengerusi FELCRA, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Ezette A Samad. - Foto fail NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Bung Mokhtar tak bantah pelaburan tunai RM150 juta FELCRA

KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi FELCRA, Datuk Seri Bung Moktar Radin tidak membantah cadangan pelaburan tunai berjumlah RM150 juta dalam unit dana amanah.

Ahli Lembaga Pengarah FELCRA, Dr Habibah Suleiman, 72, berkata Bung Mokhtar bersama-sama Ahli Lembaga Pengarah yang lain, tidak membantah kertas cadangan pelaburan baharu itu bagi mendapatkan pulangan lebih tinggi.

Menurut Habibah, cadangan pelaburan itu diluluskan dan ditandatangani bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Habibah yang menjawab soalan peguam M Athimulan pada sesi pemeriksaan balas, berkata mereka bersetuju cadangan dibentangkan Pengurus Besar Kumpulan Kewangan FELCRA, Mohd Azmy Abu Samah dalam Mesyuarat Lembaga Pengarah pada 24 November 2014.

Saksi pendakwaan kelima itu, berkata mesyuarat itu mengambil masa lama daripada jam 8.30 malam hingga jam 3 pagi berikutan banyak perkara dibincangkan dan Ahli Lembaga Pengarah mengambil bahagian secara aktif dalam mesyuarat berkenaan.

Mesyuarat diadakan di Hotel Intercontinental itu turut disertai Ahli Lembaga Pengarah lain, iaitu Datuk Seri Ibrahim Muhammad, Datuk Baharum Mohamed, Datuk Abdul Fattah Abdullah, Datuk Ismail Kasim, Azaman @ Azman Ruslan dan Datuk Azailiza Mohd Ahad.

"Seingat saya, saya diberitahu bahawa wang RM150 juta diserahkan kepada unit amanah Public Bank pada mesyuarat bertarikh 16 Jun 2015," kata saksi itu.

Habibah berkata demikian ketika memberikan keterangan terhadap Bung Mokhtar dan isterinya Datin Seri Zizie Izette A Samad yang menghadapi tuduhan rasuah.

Bung Moktar didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan, iaitu wang tunai RM2.2 juta, daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid, 38, melalui Zizie Izette.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu sebagai upah mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk FELCRA membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual.

Bagi pertuduhan kedua, Bung Moktar didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan, iaitu wang tunai berjumlah RM262,500, daripada Madhi melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) bernombor 044797816 yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan serupa.

Bung Moktar juga dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan, iaitu wang tunai berjumlah RM337,500, daripada ejen pelaburan Public Mutual, Norhaili Ahmad Mokhtar, 42, melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) bernombor 044797824 yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan sama.

Zizie Izette pula didakwa tiga tuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama, di tempat, tarikh dan masa.

Berita Harian X