Khamis, 14 Mei 2020 | 12:37pm
Kakitangan Pejabat Hutan Daerah (PHD) Temerloh dan Bera mengukur balak spesis Meranti Tembaga yang ditebang secara haram dalam Hutan Simpan Chini. - Foto NSTP/ Mohd Rafi Mamat
Kakitangan Pejabat Hutan Daerah (PHD) Temerloh dan Bera mengukur balak spesis Meranti Tembaga yang ditebang secara haram dalam Hutan Simpan Chini. - Foto NSTP/ Mohd Rafi Mamat

Pejabat hutan kesan kegiatan curi hasil hutan ketika PKP

TEMERLOH: Pejabat Hutan Daerah (PHD) Temerloh dan Bera mematahkan cubaan memindahkan 61 kayu bergergaji jenis Meranti Tembaga, Keruing dan Balau pelbagai saiz bernilai lebih RM16,600 di Komparment 78 Hutan Simpan Chini, di sini kelmarin.

Pegawai PHD Temerloh dan Bera, Azmi Abdul Rahman, berkata kegiatan haram itu dikesan selepas pihaknya melakukan rondaan berjadual di Hutan Simpan Chini berhampiran kawasan Bukit Bertangga, FELDA Kumai.

Berdasarkan pemeriksaan, katanya tiga tunggul balak jenis Meranti Tembaga, Keruing dan Balau ditemui di kawasan terbabit, dipercayai ditebang sejak seminggu lalu.

Beliau berkata, pihaknya percaya individu terbabit menjadikan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Ramadan sebagai peluang untuk masuk ke hutan bagi melakukan kegiatan yang menyalahi undang-undang.

"Kegiatan berkenaan dipercayai dilakukan tiga hingga empat individu tempatan yang mahir dalam kawasan Hutan Simpan Chini, dengan jalan ladang sawit digunakan sebagai laluan masuk dan memindahkan keluar kayu.

"Modus operandi mereka masuk ke hutan memilih pokok balak berkualiti, menebang dan membelahnya mengikut saiz tertentu. Kegiatan mereka mengambil masa antara seminggu hingga dua minggu sahaja bagi mengelak dikesan pihak berkuasa," katanya di sini hari ini.

Azmi berkata, kumpulan berkenaan hanya memilih beberapa spesis kayu tertentu mengikut permintaan dan selain menghasilkan papan serta kayu pelbagai saiz, mereka turut membuat tiang pagar menggunakan pokok spesis keras.

"Kita akan mempergiatkan rondaan di kawasan panas sekitar di daerah ini sepanjang Ramadan bagi mengelak kegiatan haram di kawasan hutam simpan berterusan.

"Individu yang menceroboh hutan simpan dan mengambil hasil hutan boleh didakwa di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 dan jika sabit kesalahan boleh didenda dan penjara," katanya.

Berita Harian X