Selasa, 12 Mei 2020 | 12:02pm
Pencarian turut dilakukan oleh anggota bomba penyelamat dimuara Parit Bugis di Sungai Muar.- Foto NSTP/Ahmad Ismail
Pencarian turut dilakukan oleh anggota bomba penyelamat dimuara Parit Bugis di Sungai Muar.- Foto NSTP/Ahmad Ismail

Remaja perempuan hanyut belum ditemui

MUAR : Operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja perempuan, Priaangka Sivasankar, 10, yang hilang dihanyutkan air deras di Parit Bugis, Panchor di sini, dipertingkatkan.

Hari ketiga SAR, hari ini dipertingkatkan dengan dibantu Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh, Hairulnizam Redzuan, berkata SAR hari ini membabitkan 19 anggota BBP Pagoh, Muar dan Segamat serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan polis.

Hairulnizam berkata, tumpuan pencarian di kuala Sungai Besar Panchor, di Sungai Muar.

"Turut sama membantu dua anjing dari unit pengesan. Pada masa sama, pencarian turut dilakukan di sekitar laluan air, tebing, semak-samun dan belukar di sekitar Parit Bugis," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Assistant Komisioner Zaharudin Rasip, berkata mangsa berbadan kurus, dikatakan jatuh sebelum hanyut dibawa arus lalu tenggelam di lokasi kejadian.

Zaharudin berkata, keluarga terdekat mangsa membuat satu laporan polis berkaitan kejadian itu di Balai Polis Panchor pada jam 6.10 petang, Ahad lalu.

"Operasi mencari dan menyelamat turut dibantu penduduk setempat dan sehingga kini, belum ada sebarang petunjuk mengenai mangsa.

"Orang awam dinasinatkan agar menjauhi lopak dan talian air kerana lebih berisiko disebabkan arus deras serta limpahan air punca kekerapan cuaca hujan kebelakangan ini," katanya.

Berita Harian X