Ahad, 10 Mei 2020 | 6:29pm
Suspek yang berjaya ditahan polis selepas cuba menyamun sebuah bengkel di Shah Alam. - NSTP/Ihsan PDRM
Suspek yang berjaya ditahan polis selepas cuba menyamun sebuah bengkel di Shah Alam. - NSTP/Ihsan PDRM

Tak sempat samun

SHAH ALAM: Cubaan empat lelaki untuk menyamun sebuah bengkel di Jalan Setia Prima A U13/A petang semalam gagal apabila mereka ditahan polis yang berada berdekatan lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib, berkata dalam kejadian pada jam 4 petang itu, hanya pemilik dan dua pekerja berada dalam bengkel berkenaan.

"Mereka didatangi empat lelaki bersenjatakan parang yang kemudian menjerit meminta mangsa menyerahkan wang, bagaimanapun selepas menyedari kehadiran polis, mereka bergegas melarikan diri menaiki sebuah kereta jenis Perodua Bezza.

"Sebaik sahaja menerima maklumat, anggota polis Balai Seksyen 6 serta Polis Bantuan yang berada di kawasan sekitar segera ke tempat kejadian dan menahan dua suspek di lokasi bersama dengan kereta yang digunakan.

"Manakala dua lagi suspek yang melarikan diri dikesan dan ditangkap pada jam 12.30 tengah malam tadi di sebuah rumah di Klang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, modus operandi suspek adalah memasuki premis yang terbuka seperti bengkel dengan bersenjatakan parang seterusnya menyamun mangsa.

Katanya, hasil siasatan pihak polis mendapati kesemua suspek turut terbabit dalam tiga lagi kes samun bersenjata parang di sekitar Bukit Raja yang membabitkan modus operandi yang sama.

"Dalam kejadian itu, polis turut merampas sebuah kereta, dua bilah parang, dua plat nombor pendaftaran kenderaan, tiga telefon bimbit, dua passport dan dan satu kad pengenalan (dipercayai milik mangsa kes samun sebelum ini).

"Kesemua suspek adalah lelaki tempatan berusia 30 hingga 40 tahun dan mempunyai rekod lampau membabitkan dadah serta jenayah malah saling mengenali antara satu sama lain," katanya.

Baharudin berkata, tangkapan direman lima hari mulai hari ini dan pihaknya juga sedang menyiasat kejadian lain yang mungkin membabitkan mereka.

Jelasnya, kesemua tangkapan ditahan mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan juga boleh dikenakan denda dan sebatan.

Berita Harian X