Jumaat, 8 Mei 2020 | 10:37am
KEADAAN Hilux dan motosikal yang dinaiki mangsa di tempat kejadian. NSTP/Ihsan POLIS
KEADAAN Hilux dan motosikal yang dinaiki mangsa di tempat kejadian. NSTP/Ihsan POLIS

Dua remaja lawan arus maut dirempuh

SERIAN: Dua remaja lelaki maut selepas dirempuh sebuah pacuan empat roda di Jalan Serian Bypass jam 8.10 malam tadi.

Kemalangan berlaku apabila sebuah Toyota Hilux cuba mengelak dua motosikal yang melawan arus termasuk yang ditunggangi mangsa.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu, berkata pacuan empat roda terbabit yang dipandu seorang pengurus ladang dalam perjalanan dari arah Taman Pasir di sini menuju ke Balai Ringin.

"Semasa memandu di lorong sebelah kiri, tiba-tiba dua motosikal datang melawan arus dengan menggunakan kedua-dua lorong.

KEADAAN Hilux dan motosikal yang dinaiki mangsa di tempat kejadian. NSTP/Ihsan POLIS
KEADAAN Hilux dan motosikal yang dinaiki mangsa di tempat kejadian. NSTP/Ihsan POLIS

"Pemandu pacuan empat roda terbabit cuba mengelak ke sebelah kanan dan terus berlanggar dengan sebuah motosikal yang dinaiki kedua-dua mangsa di bahu jalan menghala ke Sri Aman," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Alexson berkata akibat pelanggaran itu, kedua-dua mangsa yang berusia 18 tahun dikenali sebagai Nick Noah Niklas dari Kampung Pasir dan Neavin Danny dari Kampung Kakai di sini cedera parah di kepala.

"Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik Hospital Serian," katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X