Sabtu, 2 Mei 2020 | 1:57pm

Cubaan bakar mayat mangsa bunuh gagal sebab hujan

SHAH ALAM: Seorang lelaki ditahan kerana dipercayai memukul rakan serumahnya hingga mati sebelum membuang mayat dalam kawasan semak berdekatan loji sisa kumbahan di Kampung Jawa dekat sini.

Suspek disyaki memukul mangsa berusia 40 tahun dengan objek keras ekoran berang dengan tindakan mangsa mencuri syabu miliknya.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib, berkata polis menerima panggilan mengenai penemuan mayat di dalam troli di kawasan semak belakang sebuah pasar raya pada jam 1 pagi, Khamis lalu.

"Selepas menerima maklumat, anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam bergegas ke tempat kejadian dan menemui mayat berpakaian lengkap dan mereput dalam sebuah troli yang turut mengandungi beg, kain baju, batang kayu serta kotak.

"Hasil maklumat yang diperoleh, kita berjaya mengesan dan menangkap seorang lelaki berusia 47 tahun dalam tempoh kurang satu jam di kawasan berhampiran bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Baharudin berkata, siasatan awal mendapati suspek dan mangsa adalah rakan serumah dan tinggal bersama hampir tiga bulan di kawasan berdekatan lokasi mayat dijumpai.

"Suspek turut mengaku ada memukul mangsa dengan objek keras kerana tidak berpuas hati apabila mangsa mencuri syabu miliknya dan pergaduhan berkenaan berlaku di bilik utama rumah mereka.

"Suspek juga bertindak membiarkan mayat mangsa di dalam rumah kira-kira tiga hari sebelum bertindak meletakkan mangsa dalam troli dan menolak ke lokasi kira-kira 160 meter dari rumah ke lokasi mayat ditemui.

"Kita juga percayai suspek sudah membuat persediaan untuk melupuskan mayat secara membakarnya tetapi gagal kerana hujan," katanya.

Baharudin berkata, bedah siasat yang dijalankan di Hospital Shah Alam mendapati punca kematian mangsa disebabkan hentakan objek tumpul terhadap muka si mati serta mangsa disahkan mati lebih dari dua hari.

Katanya, mayat mangsa masih belum disahkan (pengecaman) kerana sudah mereput dan kini menunggu laporan cap jari.

"Suspek memiliki 10 rekod lampau membabitkan jenayah serta dadah dan ditahan reman tujuh hari bermula Khamis lalu.

"Polis sedang menyiasat motif lain kejadian itu. Siasatan terhadap suspek dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini, boleh menghubungi Asisten Superintendan Chua Cheong Kheow menerusi talian 019-421 7868 bagi membantu siasatan," katanya.

Berita Harian X