Rabu, 29 April 2020 | 3:48pm

PDRM siasat lelaki Rohingya hina Melayu

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan berhubung satu siaran langsung melalui 'Live Facebook' oleh tiga lelaki etnik Rohingya yang didapati menghina dan cuba menimbulkan ketakutan secara jenayah terhadap orang Melayu di negara ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata siasatan berhubung isu itu sedang dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5) JSJ Bukit Aman.

"Sejak 25 April sehingga semalam, kita menerima 19 laporan polis berkaitan isu etnik Rohingya dengan empat kertas siasatan dibuka termasuklah satu yang berkaitan 'Live Facebook' oleh sekumpulan lelaki Rohingya.

"Kita dapati mereka telah menakutkan secara jenayah dan membuat penghinaan terhadap orang Melayu dengan melemparkan kata-kata kesat serta jelik.

"Isu ini ternyata membangkitkan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat Malaysia mengenai provokasi yang cuba ditimbulkan, justeru PDRM mengambil serius dalam mendepani perkara ini dalam usaha mengekalkan keamanan dan ketenteraman awam," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, semakan polis mendapati "Live Facebook' itu dibuat menggunakan akaun Facebook milik Villan Vicky iaitu seorang etnik Rohingya yang pernah tinggal di negara ini dan kini menetap di Milwaukee, Wisconsin, Amerika Syarikat (AS).

Kata Huzir lagi, siasatan mendapati suspek mencabar rakyat Malaysia dengan pelbagai ayat yang menggunakan bahasa-bahasa kesat, menjelikkan serta lucah.

"Menerusi perbualan dan soal jawab di dalam 'Live Facebook' itu, tiga lelaki berkenaan menyatakan komen negatif mereka terhadap orang Melayu adalah kerana orang Melayu membuat provokasi dengan komen yang menjatuhkan maruah etnik Rohingya.

"Di penghujung siaran 'live' itu, mereka menjelaskan kemarahan mereka itu sebenarnya ditujukan kepada Presiden Pertubuhan Hak Asasi Etnik Rohingya Malaysia (Mehrom), Zafar Ahmad Abdul Ghani dan etnik Rohingya di negara ini yang didakwa cuba menjadi orang Melayu," kata Huzir.

Bagaimanapun, katanya 'Live Facebook' berkenaan jelas menimbulkan perselisihan antara kedua-dua pihak iaitu orang Melayu dan etnik Rohingya sehingga ia membawa ancaman, penghinaan dan komen kasar.

Selain itu, katanya polis turut menjalankan siasatan terhadap satu rakaman video yang tular menunjukkan tiga individu melakukan latihan menembak dengan pistol jenis Magnum di satu lokasi tertera papan tanda 'Milwaukee-Jakson Park' di AS.

"Video itu adalah lanjutan daripada video 'Live Facebook' mereka dan menerusi video itu, suspek turut membuat ugutan untuk menembak mana-mana individu yang mengancam mereka.

"Mereka turut mengancam secara lisan dan menyatakan orang Melayu memberikan komen yang kasar di 'Live Facebook' mereka dan menghina etnik Rohingya ," katanya.

Katanya, untuk kedua-dua kes itu, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 iaitu perkataan atau kelakuan sopan, Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu menakutkan secara jenayah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian

"Kita minta orang ramai menghentikan sebarang spekulasi berhubung siasatan yang dijalankan dan sebarang kenyataan atau artikel berkaitan perkara ini tidak sewajarnya dimuat naik atau dikongsi di media sosial bagi mengelakkan timbul ketegangan dan suasana tidak harmoni di negara ini.

"Sebarang bentuk kenyataan yang cenderung untuk menghasut atau bersifat jelik yang boleh menimbulkan kegentaran awam akan diambil tindakan tegas. Kita tidak akan berkompromi dan tindakan 'zero-tolerance' akan dikenakan terhadap pihak yang melanggar undang-undang," tegasnya.

Berita Harian X