X
Rabu, 29 April 2020 | 3:31pm
Gambar hiasan.
Gambar hiasan.

Pembantu kesihatan didakwa halang tugas polis

KUALA LUMPUR: Seorang pembantu kesihatan awam hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menghalang dan menumbuk anggota polis dalam pemeriksaan di sekatan jalan raya serta melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Jumaat lalu.

Bagaimanapun, Mohamad Alif Syazwan Roslan, 27, mengaku tidak bersalah selepas ketiga-tiga pertuduhan terhadapnya dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret M Saravanan.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Mohamad Alif Syazwan didakwa menghalang Koperal P Thiruselvam daripada menjalankan tugas hakikinya iaitu melakukan pemeriksaan di sekatan jalan raya dengan cara menyerang anggota polis berkenaan.

Dia juga dituduh menggunakan kekerasan jenayah dengan menumbuk penjawat awam berkenaan.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 353 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga didakwa melanggar PKP dengan bergerak dari Taman Sri Watan ke Batu 4 Jalan Ampang yang merupakan tempat dalam kawasan tempatan jangkitan yang bukan bertujuan untuk melakukan mana-mana perkara diperuntukkan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Dia dituduh melakukan kesalahan di bawah Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang membawa hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di Batu 4 Jalan Ampang, 6.15 pagi, pada 24 April lalu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Hanis Anisha Jamilludin mencadangkan jaminan RM9,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan terhadap tertuduh.

Peguam P Muniswer yang mewakili Mohamad Alif Syazwan memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya yang bekerja sebagai pembantu kesihatan awam juga membantu mengambil dan mengumpul sampel darah untuk kes COVID-19.

Katanya tertuduh juga menanggung dua anak yang masih bersekolah.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Jun untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

Berita Harian X