Selasa, 28 April 2020 | 12:39pm

Polis tahan lelaki didakwa ugut tikam adik guna pemutar skru

BUTTERWORTH: Seorang lelaki dipercayai mabuk, didakwa mengugut untuk menikam perut adiknya dengan menggunakan pemutar skru di Taman Desa Murni, Sungai Dua, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.20 malam, mangsa berusia 29 tahun dikatakan didatangi abangnya berumur 30-an sebelum berlaku pertengkaran antara mereka berdua.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata ketika bertengkar, suspek didakwa mengambil pemutar skru dan mengugut mahu menikam perut adiknya itu sambil mengeluarkan kata-kata kesat.

"Disebabkan takut dengan perbuatan abangnya itu, mangsa ke Balai Polis Sungai Dua untuk membuat laporan pada hari sama kejadian berlaku.

"Mangsa memaklumkan bahawa punca pergaduhan mereka ialah abangnya didakwa sering mabuk dan seorang penagih dadah," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Susulan itu, Noorzainy berkata, polis membuat tangkapan ke atas abang mangsa pada hari sama.

"Ketika kejadian, dikatakan ibu bapa dan adik-beradik perempuan mangsa ada menyaksikan pergaduhan mereka berdua.

"Ujian saringan air kencing ke atas suspek didapati negatif dadah, namun semakan lanjut mendapati dia memiliki rekod jenayah lampau," katanya.

Suspek kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X