Khamis, 23 April 2020 | 5:18pm
POLIS dan anggota bomba cuba memberi bantuan kepada mangsa yang tersepit di lif sebuah pasar raya di Kingfisher, Likas Kota Kinabalu. - Foto Juwan Riduan
POLIS dan anggota bomba cuba memberi bantuan kepada mangsa yang tersepit di lif sebuah pasar raya di Kingfisher, Likas Kota Kinabalu. - Foto Juwan Riduan

Maut tersepit di lif ketika memunggah barang

KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut selepas tersepit dalam lif barang ketika memunggah barang di stor sebuah pasar raya di Kingfisher, Likas, di sini, hari ini.

Mangsa Joyden Joharis, 19, disahkan meninggal dunia oleh doktor dari Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah Kota Kinabalu, jam 10.45 pagi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata mangsa ialah pekerja sebuah syarikat penghantaran barang bagi syarikat pembekalan barang di daerah ini.

"Ketika memunggah barang, mangsa naik ke tingkat tiga di pasar raya berkenaan dan tidak lama selepas itu, seorang pekerja di pasar raya terdengar jeritan mangsa kesakitan.

"Berikutan itu, pekerja naik ke tingkat tiga melalui tangga dan dia bertindak memecahkan pintu stor barang berkenaan dan mendapati mangsa dalam keadaan terselit di bahagian leher," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pekerja itu kemudian menghubungi ambulans dan bomba untuk bantuan.

"Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu dan ambulans yang tiba di tempat kejadian kemudian memberi bantuan pernafasan.

"Namun, mangsa gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya.

Tambah beliau, mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I untuk bedah siasat.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Berita Harian X