Khamis, 23 April 2020 | 4:25pm
KETUA Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Haris Ibrahim menunjukkan barangan yang dirampas pada sidang media di IPD Penampang, hari ini. - Foto Juwan Riduan
KETUA Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Haris Ibrahim menunjukkan barangan yang dirampas pada sidang media di IPD Penampang, hari ini. - Foto Juwan Riduan

'Geng Lastik' aktif pecah rumah, curi kenderaan tumpas

PENAMPANG: Melastik batu ke tingkap rumah dan jika tiada tindak balas, mereka akan masuk dan melarikan kenderaan serta beberapa barang berharga dan wang tunai.

Itu taktik digunakan sekumpulan penjenayah pecah rumah dan curi kenderaan dikenali sebagai 'Geng Lastik' yang berjaya ditumpaskan dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Manggatal, Kota Kinabalu, 17 April lalu.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Haris Ibrahim, berkata kejayaan itu hasil maklumat orang awam dan tindakan pantas pegawai dan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang yang menahan dua ahli kumpulan terbabit, manakala seorang lagi masih diburu.

"Dua suspek yang ditahan berusia 27 dan 37 tahun manakala seorang lagi yang masih bebas dikenali sebagai Eddy Christopher Jinni, 34.

"Ketiga suspek ini dikatakan berkenalan ketika menjalani hukuman penjara bersama-sama pada 2014 dan mereka dipercayai terbabit sekurang-kurangnya 14 kes pecah rumah dan curi kenderaan membabitkan kerugian bernilai RM838,000.

"Geng terbabit didapati aktif menjalankan kegiatan pecah rumah dan curi kenderaan di sekitar daerah ini, Kota Kinabalu, Papar, Tuaran dan Kota Belud," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada sidang media di IPD Penampang, hari ini.

Mohd Haris berkata, hasil siasatan juga mendapati kumpulan berkenaan menggunakan modus operandi dengan melastik batu ke tingkap rumah sasaran untuk memastikan rumah berkenaan tiada penghuni.

"Selain memecah masuk untuk melarikan barang berharga, suspek juga akan turut melarikan kenderaan yang ditinggalkan pemilik rumah.

"Setakat ini, polis berjaya merampas beberapa barangan berharga yang dicuri kumpulan berkenaan termasuk empat kenderaan yang dicuri sebelum ini.

"Antara kenderaan yang berjaya dirampas semula adalah Honda Jazz dan Honda HRV, Toyota Vios serta Isuzu D-Max," katanya.

Menurutnya, mengikut siasatan juga, geng terbabit turut melakukan kegiatan jenayah ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Dua suspek terbabit kini direman selama lima hari sehingga hari ini mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan untuk pecah rumah dan Seksyen 379A akta sama untuk kesalahan curi kenderaan.

"Sehubungan itu juga, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung suspek yang masih bebas supaya tampil membantu siasatan," katanya.

Berita Harian X