Khamis, 23 April 2020 | 1:54pm

Pemandu keretapi halang tugas penjawat awam dipenjara

JELEBU : Pemandu keretapi yang menghalang tugas penjawat awam dijatuhi hukuman penjara dan denda oleh Mahkamah Majistret Jelebu, hari ini.

Majistret Rahimah Rahim menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM3,000 ke atas A Loghan, 35, selepas tertuduh mengaku salah, sebaik pertuduhan dibaca jurubahasa mahkamah.

Tertuduh pada 17 April jam 10.30 malam bertempat di luar sebuah rumah di Taman Sri Pertang, Jelebu didapati menghalang penjawat awam menjalankan tugas dengan melakukan provokasi dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap sepasukan polis yang memintanya beredar, berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang dilaksanakan.

Tertuduh dituduh mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan turut jatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM800 selepas didapati bersalah mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020 (PPPB) yang boleh dihukum mengikut Peraturan 11(1)peraturan sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Rahimah turut mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda bagi pertuduhan menghalang penjawat awam dan satu bulan bagi ingkar arahan PKP.

Di mahkamah sama, seorang pemandu lori turut dijatuhi hukuman penjara dua hari dan denda RM600 kerana melanggar PKP.

Mengikut pertuduhan, Siren Chen, 53 dari Kampung Orang Asli Bukit Tadum, Banting didapati bergerak dari satu tempat lain iaitu Banting, Selangor ke Jelebu, Negeri Sembilan dan gagal memberi alasan munasah pergerakan ketika ditahan dalam sekatan jalan raya dihadapan Ibu Pejabat Polis Daerah ( IPD ) Jelebu pada 21 April jam 3.30 petang.

Tertuduh dihukum mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020 (PPPB) yang boleh dihukum mengikut Peraturan 11(1) peraturan yang sama.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Mohamad Nor Hisam Hussain.

Berita Harian X