Rabu, 22 April 2020 | 9:27am
Seorang kanak-kanak lelaki maut manakala 17 yang lain selamat dalam kejadian kebakaran di sebuah rumah di Jalan Bukit Pasir, Kampung Bukit Pasir, Endau, malam tadi. - Foto NSTP/Ihsan Bomba
Seorang kanak-kanak lelaki maut manakala 17 yang lain selamat dalam kejadian kebakaran di sebuah rumah di Jalan Bukit Pasir, Kampung Bukit Pasir, Endau, malam tadi. - Foto NSTP/Ihsan Bomba

Budak empat tahun rentung dalam kebakaran

MERSING: Seorang kanak-kanak lelaki maut, manakala 17 yang lain terselamat dalam kejadian kebakaran di sebuah rumah di Jalan Bukit Pasir, Kampung Bukit Pasir, Endau, di sini, malam tadi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Endau, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Mohd Alias Hussin, berkata kanak-kanak yang meninggal dunia itu dikenali sebagai Muhammad Faiz Fikri.

Katanya, Pusat Gerakan Operasi Negeri Johor menerima panggilan kecemasan kebakaran rumah jam 9.19 malam tadi.

“Sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT), sebuah jentera pemadam (FRT), sebuah Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dan sebuah utiliti Hilux dari BBP Endau dan dibantu BBP Mersing dengan 21 anggota dihantar ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, didapati berlaku kebakaran rumah jenis dua tingkat di tingkat atas.

“Terdapat satu mangsa rentung dan 17 mangsa berusia setahun hingga 65 tahun berjaya menyelamatkan diri sebelum bomba tiba di lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa rentung dijumpai bomba pada jam 11.07 malam di bahagian tangga tingkat bawah dan dikeluarkan bomba sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, operasi ditamatkan sepenuhnya jam 1.09 awal pagi tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing, ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian kebakaran itu.

Berita Harian X